Pages - Menu

Senin, 11 November 2013

Gaya Pemakaian Golongan Remaja Kini

Gaya Pemakaian Golongan Remaja Kini


Remaja merupakan golongan manusia yang berumur antara 13 hingga 25 tahun. Mereka berada di peringkat transasi antara peringkat kanak-kanak dan peringkat dewasa. Oleh itu, golongan ini sentiasa mempunyai perasaan ingin mencuba dalam perkara-perkara yang mereka temui dalam kehidupan harian mereka termasuklah gaya pemakaian.
            Pada era globalisasi ini, kebudayaan barat memberikan pengaruh yang kuat kepada golongan remaja di negara kita, Malaysia. Keadaan ini dapat dilihat dengan jelas sekali apabila kita meneliti gaya pemakaian golongan remaja pada zaman sekarang. Hampir kesemua daripada remaja di Malaysia ini memakai kemeja-T dan jean apabila ke mana-mana sahaja. Cara pemakaian yang seksi seperti kemeja-T yang ketat dan baju yang pendek sehingga ternampak pusar serta seluar jean yang ketat dan pendek amat disukai oleh remaja perempuan masa kini. Ini adalah kerana gaya pemakaian sebegini merupakan salah satu jenis pemakaian yang sangat popular di negara barat dan ia dikatakan lebih menarik dan selesa serta sesuai dengan remaja pada zaman kini. Jika dibandingkan dengan remaja zaman dulu, mereka lebih mementingkan pakaian yang bersopan-santun dan menutup aurat.
            Selain itu, kebanyakan daripada gaya pemakaian remaja ini dipengaruhi oleh rakan sebaya mereka. Mereka akan terikut-ikut dengan cara pemakaian rakan mereka yang mengikut arus perkembangan dunia kerana tidak ingin dikatakan sebagai seseorang yang ketinggalan zaman. Golongan remaja masa kini juga mudah dipengaruhi dengan artis-artis yang terkenal di dunia. Mereka akan mengikut dan memakai pakaian yang sama ataupun hampir sama dengan pakaian yang dipakai oleh idola mereka. Mereka berpendapat bahawa sekiranya mereka mengikut gaya pemakaian artis-artis tersebut, mereka akan mendapat perhatian daripada orang ramai.
            Gaya pemakaian seperti hip hop  disukai oleh ramai remaja masa kini. Contoh pemakaian hip hop yang boleh dilihat ialah memakai seluar yang labuh dan besar, kemeja-T yang dipakai juga sengaja dibeli dalam saiz yang besar ataupun memakai sehelai jaket selepas memakai kemeja-T yang berwarna putih. Ini akan kelihatan lebih bergaya apabila digabungkan dengan kasut kanvas, topi dan aksesori seperti rantai, cincin, gelang tangan, anting-anting dan sebagainya. Gaya pemakaian rock juga diminati oleh golongan remaja zaman sekarang selain daripada hip hop. Mereka yang mengikuti gaya rock selalunya berbaju hitam, memakai seluar yang ketat dan berambut panjang serta berwarna-warni. Kuku mereka yang berwarna hitam dan badan yang bertato juga dapat menunjukkan mereka bergaya rock.
            Di samping itu, cara pemakaian bagi golongan remaja yang tinggal di bandar adalah berbeza dengan remaja yang tinggal di luar bandar. Keadaan ini berlaku kerana terdapat banyak pusat beli-belah dan kedai butik yang dibuka di kawasan bandar. Oleh itu, remaja di bandar berpeluang untuk memakai pakaian-pakaian yang berlainan jenis kerana mereka mempunyai lebih banyak pilihan semasa membeli pakaian. Seluar jean dan kemeja-T yang ketat serta hiasan aksesori yang menarik menjadi pilihan bagi remaja yang kebanyakannya berasal dari kawasan bandar.
            Pada zaman yang serba canggih ini, media massa telah memainkan peranan yang penting bagi memastikan cara pemakaian golongan remaja sentiasa berfesyen terkini. Ini adalah kerana kebanyakan daripada media massa masa kini sering menunjukkan fesyen-fesyen semasa yang dapat mempengaruhi citarasa remaja. Antara majalah yang terkenal dengan fesyen terkini adalah seperti Lime, Smash Hits, Galaxie dan lain-lain lagi. Terdapat juga di antara media massa yang  menyatakan harga sesuatu pakaian dan tempat untuk menempah ataupun membeli pakaian tersebut. Ini akan lebih memudahkan golongan remaja untuk mendapat maklumat tentang fesyen terkini.
            Gaya pemakaian bagi remaja yang sudah berkerja adalah berbeza dengan remaja yang sedang belajar. Bagi golongan yang sudah bekerja, mereka lebih menitikberatkan tampilan mereka, simbol status dan pandangan orang lain terhadap mereka. Oleh itu, pakaian pilihan mereka selalunya berjenama terkenal dan harga mahal. Ini adalah untuk menunjukkan keyakinan yang ada pada diri mereka supaya mereka kelihatan lebih unik dan berani. Jenama-jenama pakaian yang biasa dibeli oleh mereka adalah seperti DKNY, CK, ADIDAS, NIKE, GUESS, SEED dan sebagainya. Mereka mempercayai bahawa pakaian yang berjenama ini kelihatan berprestij dan kualitinya adalah lebih tinggi. Justera itu, mereka akan kelihatan berkelas tinggi apabila memakainya. Terdapat juga segelintir daripada mereka yang sanggup membelanjakan gaji yang mereka dapat semata-mata untuk mengikuti perkembangan fesyen semasa dan memenuhi citarasa serta keinginan untuk bertindak kreatif. Manakala bagi remaja yang masih lagi belajar, mereka akan membeli dan memakai pakaian yang lebih murah harganya tetapi berfesyen terkini kerana tidak ingin ketinggalan zaman.
            Kesimpulannya, gaya pemakaian golongan remaja masa kini kebanyakannya dipengaruhi oleh kebudayaan barat. Keadaan ini telah menyebabkan etika pakaian berkebudayaan timur semakin dilupakan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar