Gaya Pemakaian Golongan Remaja Kini
Remaja
merupakan golongan manusia yang berumur antara 13 hingga 25 tahun.
Mereka berada di peringkat transasi antara peringkat kanak-kanak dan
peringkat dewasa. Oleh itu, golongan ini sentiasa mempunyai perasaan
ingin mencuba dalam perkara-perkara yang mereka temui dalam kehidupan
harian mereka termasuklah gaya pemakaian.
Pada era globalisasi ini, kebudayaan barat memberikan pengaruh yang
kuat kepada golongan remaja di negara kita, Malaysia. Keadaan ini dapat
dilihat dengan jelas sekali apabila kita meneliti gaya pemakaian
golongan remaja pada zaman sekarang. Hampir kesemua daripada remaja di
Malaysia ini memakai kemeja-T dan jean apabila ke mana-mana sahaja. Cara
pemakaian yang seksi seperti kemeja-T yang ketat dan baju yang pendek
sehingga ternampak pusar serta seluar jean yang ketat dan pendek amat
disukai oleh remaja perempuan masa kini. Ini adalah kerana gaya
pemakaian sebegini merupakan salah satu jenis pemakaian yang sangat
popular di negara barat dan ia dikatakan lebih menarik dan selesa serta
sesuai dengan remaja pada zaman kini. Jika dibandingkan dengan remaja
zaman dulu, mereka lebih mementingkan pakaian yang bersopan-santun dan
menutup aurat.
Selain itu, kebanyakan daripada gaya pemakaian remaja ini dipengaruhi
oleh rakan sebaya mereka. Mereka akan terikut-ikut dengan cara pemakaian
rakan mereka yang mengikut arus perkembangan dunia kerana tidak ingin
dikatakan sebagai seseorang yang ketinggalan zaman. Golongan remaja masa
kini juga mudah dipengaruhi dengan artis-artis yang terkenal di dunia.
Mereka akan mengikut dan memakai pakaian yang sama ataupun hampir sama
dengan pakaian yang dipakai oleh idola mereka. Mereka berpendapat bahawa
sekiranya mereka mengikut gaya pemakaian artis-artis tersebut, mereka
akan mendapat perhatian daripada orang ramai.
Gaya pemakaian seperti hip hop disukai oleh ramai remaja masa kini. Contoh pemakaian hip hop
yang boleh dilihat ialah memakai seluar yang labuh dan besar, kemeja-T
yang dipakai juga sengaja dibeli dalam saiz yang besar ataupun memakai
sehelai jaket selepas memakai kemeja-T yang berwarna putih. Ini akan
kelihatan lebih bergaya apabila digabungkan dengan kasut kanvas, topi
dan aksesori seperti rantai, cincin, gelang tangan, anting-anting dan
sebagainya. Gaya pemakaian rock juga diminati oleh golongan remaja zaman sekarang selain daripada hip hop. Mereka yang mengikuti gaya rock selalunya
berbaju hitam, memakai seluar yang ketat dan berambut panjang serta
berwarna-warni. Kuku mereka yang berwarna hitam dan badan yang bertato
juga dapat menunjukkan mereka bergaya rock.
Di samping itu, cara pemakaian bagi golongan remaja yang tinggal di
bandar adalah berbeza dengan remaja yang tinggal di luar bandar. Keadaan
ini berlaku kerana terdapat banyak pusat beli-belah dan kedai butik
yang dibuka di kawasan bandar. Oleh itu, remaja di bandar berpeluang
untuk memakai pakaian-pakaian yang berlainan jenis kerana mereka
mempunyai lebih banyak pilihan semasa membeli pakaian. Seluar jean dan
kemeja-T yang ketat serta hiasan aksesori yang menarik menjadi pilihan
bagi remaja yang kebanyakannya berasal dari kawasan bandar.
Pada zaman yang serba canggih ini, media massa telah memainkan peranan
yang penting bagi memastikan cara pemakaian golongan remaja sentiasa
berfesyen terkini. Ini adalah kerana kebanyakan daripada media
massa masa kini sering menunjukkan fesyen-fesyen semasa yang dapat
mempengaruhi citarasa remaja. Antara majalah yang terkenal dengan fesyen
terkini adalah seperti Lime, Smash Hits, Galaxie dan lain-lain
lagi. Terdapat juga di antara media massa yang menyatakan harga sesuatu
pakaian dan tempat untuk menempah ataupun membeli pakaian tersebut. Ini
akan lebih memudahkan golongan remaja untuk mendapat maklumat tentang
fesyen terkini.
Gaya pemakaian bagi remaja yang sudah berkerja adalah berbeza dengan
remaja yang sedang belajar. Bagi golongan yang sudah bekerja, mereka
lebih menitikberatkan tampilan mereka, simbol status dan pandangan orang
lain terhadap mereka. Oleh itu, pakaian pilihan mereka selalunya
berjenama terkenal dan harga mahal. Ini adalah untuk menunjukkan
keyakinan yang ada pada diri mereka supaya mereka kelihatan lebih unik
dan berani. Jenama-jenama pakaian yang biasa dibeli oleh mereka adalah
seperti DKNY, CK, ADIDAS, NIKE, GUESS, SEED dan sebagainya.
Mereka mempercayai bahawa pakaian yang berjenama ini kelihatan
berprestij dan kualitinya adalah lebih tinggi. Justera itu, mereka akan
kelihatan berkelas tinggi apabila memakainya. Terdapat juga segelintir
daripada mereka yang sanggup membelanjakan gaji yang mereka dapat
semata-mata untuk mengikuti perkembangan fesyen semasa dan memenuhi
citarasa serta keinginan untuk bertindak kreatif. Manakala bagi remaja
yang masih lagi belajar, mereka akan membeli dan memakai pakaian yang
lebih murah harganya tetapi berfesyen terkini kerana tidak ingin
ketinggalan zaman.
Kesimpulannya, gaya pemakaian golongan remaja masa kini kebanyakannya
dipengaruhi oleh kebudayaan barat. Keadaan ini telah menyebabkan etika
pakaian berkebudayaan timur semakin dilupakan.
0 komentar:
Posting Komentar